PADAH! Nak Merompak Sangat, Lihat Apa Yang Mamat Ni Kena


KOTA BHARU - Cubaan seorang lelaki menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Panchor, Pengkalan Chepa di sini gagal selepas dia bukan sahaja tidak dapat melarikan barangan dalam kedai, malah dia turut cedera selepas kepalanya dipukul dengan botol sos oleh pekerja kedai terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi kelmarin, suspek yang pada mulanya datang ke kedai berkenaan dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5, masuk ke kawasan belakang kaunter dengan membawa pistol mainan dan mengacukannya ke arah salah seorang pekerja kedai.

Suspek mengarahkan pekerja kedai menyerahkan telefon bimbit dan wang tunai, namun mangsa yang dalam ketakutan terus menjerit menyebabkan salah seorang pekerja di situ cuba menyelamatkan mangsa yang menyebabkan berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, suspek yang mengalami pendarahan di kepala akibat dipukul dengan botol sos terus melarikan diri dengan menunggang motosikal sama, manakala seorang pekerja kedai turut cedera.

Bertindak atas maklumat, pegawai dan sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah dari Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) membuat serbuan di Kampung Pulau Gajah Pengkalan Chepa dan menemui suspek dalam keadaan berdarah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, seorang lagi suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut berkaitan kes itu, namun mengikut pengakuan suspek utama, rakannya itu tidak terlibat dalam kes berkenaan.

“Hasil ujian air kencing dilakukan terhadap kedua-duanya mendapati mereka positif amphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. - SinarHarian


PADAH! Nak Merompak Sangat, Lihat Apa Yang Mamat Ni Kena Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel