Essex: Ayesha Ali baru berusia lapan tahun ketika dia menyiapkan senarai perangainya - yang baik dan buruk - di dalam biliknya.
Pada bahagian baik, Ayesha antara lain mencatatkan kebiasaannya meletakkan sesuatu di tempat yang sesuai, menghabiskan makanan dan tidak liat untuk mandi.
Namun di bahagian perangai buruk, senarainya lebih panjang.
Misalnya, sering berbohong, berpura-pura tidak mendengar arahan, acuh tak acuh dan kasar.
Pada bahagian akhir senarai itu Ayesha menulis azamnya untuk “berusaha sebaik mungkin menjadi orang yang lebih baik” selain “tidak akan melukai perasaan orang lain.”
“Saya benci dihukum dan perlu memastikan saya berubah,” tulisnya.
Namun itu tidak memadai untuk ibunya, Polly Chowdhury, 35, dan kekasih wanita itu mengubah sikap terhadap Ayesha.
Akhirnya Ayesha mati di tangan Polly dan pasangan sejenisnya, Kiki Muddar, 43.
Media semalam melaporkan, Polly dan Kiki disabitkan kesalahan mendera serta membunuh Ayesha di rumah mereka pada Ogos 2013.
Pemeriksaan perubatan mendapati Ayesha mati akibat cedera parah di kepala kerana dipukul dengan objek keras.
Jurucakap polis berkata, Polly dan Kiki boleh dianggap sebagai pasangan yang pelik.
Kiki pula dipercayai mempunyai masalah psikologi kerana sering menghantar mesej di laman Facebook untuk mempengaruhi Polly supaya membenci anaknya sendiri.
Dalam perbicaraan, Polly didedahkan pernah menghantar mesej: “Anda tiada hak untuk menyayangi atau menyukai anak setan itu” kepada Polly.
Kiki juga sering meyakinkan Polly bahawa Ayesha adalah anak syaitan dan perlu dibunuh.
Ayesha Ali
Penyiasat polis, Andy Nimmo memberitahu mahkamah, kedua-dua tertuduh memandang mangsa dengan penuh perasaan benci.
Ketika ditemui, mayat kanak-kanak malang itu ditemui dengan lebih 50 kesan kecederaan pada badannya.
Sepanjang perbicaraan, Polly enggan memberi sebarang bukti mempertahankan dirinya.
Surat Ayesha ditemui penyiasat di biliknya.
Hakim akan menetapkan hukuman ke atas Polly dan Kiki pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. - Agensi