(Gambar) Media Prima Nafikan Lelaki Hina Polis Pekerjanya!


Kuala Lumpur – Media Prima Berhad hari ini memaklumkan bahawa individu yang membuat kenyataan menghina pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui media sosial pada 6 Februari 2015 bukan dan tidak pernah berkhidmat sebagai kakitangan Media Prima atau mana-mana anak syarikat Kumpulan.

Hasil daripada siasatan dalaman yang telah dilaksanakan, individu tersebut sebelum ini pernah menjadi kontraktor bagi salah satu program namun kontrak beliau telah tamat sejak 30 Januari 2015.

“Media Prima ingin menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan individu tersebut tidak dalam apa-apa cara menggambarkan pendirian Media Prima serta tidak mewakili nilai-nilai warga kerja Kumpulan.

“Media Prima telah dan akan sentiasa menghargai sumbangan anggota PDRM dan ingin menyatakan sokongan penuh kepada pasukan polis melalui semua platform media Kumpulan” menurut kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, PDRM akan menyerahkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung siasatan terhadap individu yang menggelar polis sebagai anjing selepas disaman atas kesalahan lalu-lintas.

Ketika dihubungi Khalid memberitahu, perbuatan menghina polis tidak sepatutnya dilakukan kerana mereka hanya menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Berhati-hatilah kita bila kita mahu menggelar orang lain itu dan ini kerana kita mungkin lebih teruk daripada orang terbabit,” katanya.

(Gambar) Media Prima Nafikan Lelaki Hina Polis Pekerjanya! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel