Lufya Omar Kini Bertudung, Dakwa Diuji "Kesakitan", Baca Kisah Di Sebalik Penghijrahannya!


KUALA LUMPUR: Tahun lalu satu berita menggembirakan apabila berita artis berhijrah dengan menutup aurat kerap dipaparkan untuk tatapan umum.

Tahun ini juga menyaksikan permulaan yang baik buat Lufya Omar sendiri.

Penyanyi yang juga pelakon kelahiran Johor Baharu itu juga memilih untuk menutup aurat pada 2 Februari lalu yakni pada hari kelahiran dia yang ke 30. Ikuti cerita Lufya mengenai perubahan sisi kehidupannya itu kepada BH Online.

"Ikutkan dari tahun ke tahun saya ada niat ke arah itu (menutup aurat). Tetapi ketika itu saya masih memikirkan soal kerja dan komitmen. Saya pernah menangis memikirkan hal ini kerana hati belum kuat untuk membulatkan keputusan bertudung.

"Perasaan itu didorong dengan rasa takut dengan kebarangkalian serta kemungkinan tawaran seni akan putus. Tapi ibu saya selalu berpesan, rezeki Tuhan itu luas. Malah bertahun-tahun pesanan itu dititipkannya.

"Saya cuba memperbaiki diri kerana mahu menjadi hamba-Nya yang baik. Saya cuba jaga solat dan tak putus berdoa. Alhamdulillah doa saya didengar Tuhan dan segala-galanya dipermudahkan dengan izin-Nya," kata Lufya.

Namun sebelum dipermudahkan hingga membawa kepada transformasi besar dalam hidupnya demi memenuhi tuntutan agama Islam, Lufya diuji. Sejak Disember tahun lalu, Lufya sebenarnya diuji dengan 'kesakitan' tiba-tiba.

Ditanya mengenai 'kesakitan' yang dimaksudkan itu, dia tidak mahu mengulas lanjut kerana bimbang akan mengundang fitnah.

"Pada satu tahap ketika 'kesakitan' itu menguasai diri, saya jadi lemah. Usaha itu dan ini juga bagaikan tak mampu untuk melawan 'kesakitan' berkenaan. Saya pernah jatuh pengsan ketika di lokasi penggambaran.

"Dalam tiga hari, saya turun berat badan hingga 10 kilogram. Tapi saya percaya apa yang terjadi ini umpama ujian Tuhan untuk saya jadi lebih kuat. Saya bermuhasabah diri dengan dugaan ini dan Alhamdulillah saya kian pulih," katanya yang sejak dulu lagi gemar mendengar ceramah agama di TV dan laman YouTube.

Mengenai kerjaya seninya, Lufya kini memutuskan untuk tidak lagi menyanyi. Malahan rakaman lagu di laman YouTube yang dimuat naik sebelum ini juga sudah dipadamkan terus.

"Saya juga sudah mula kurangkan menerima tawaran berlakon. Cukup sekadar menerima watak yang tidak bersentuhan dan bersesuaian dengan perubahan kini.

"Saya juga dalam perancangan untuk menceburi skop kerja lain selain menerima tawaran mengacara program bersesuaian," katanya yang masih akan turun padang mempromosikan apa saja kerja yang sudah dilunaskan sebelum bertudung.

Lufya Omar Kini Bertudung, Dakwa Diuji "Kesakitan", Baca Kisah Di Sebalik Penghijrahannya! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel