'Saya Punya Tangan, Saya Punya Sukalah Nak Pukul!!'

Gambar kanan, Andrew bersama mangsa

SEREMBAN - Masih segar di ingatan S. Andrew, 45, yang seorang kanak-kanak didera oleh si bapanya di depan matanya sendiri dalam kejadian di Taman Sri Pulai, Sikamat, pada 30 Disember 2015. 

"Sehingga sekarang saya masih teringat kejadian itu. Kejam, cukup kejam!" katanya.

Luluh hatinya melihat si kecil yang baru berusia tiga tahun itu, belum mengenal erti kehidupan dipukul sehingga darah pekat mengalir membasahi dirinya. 

Menurutnya dalam kejadian pada jam 11.15 malam itu, beliau baru saja balik dari kedai makan dan ternampak sebuah teksi diparkirkan di tempat yang agak tersorok dalam keadaan yang amat mencurigakan.

"Saya perasan kelibat teksi itu semenjak tiga bulan yang lalu. Tetapi kali ini lain sikit perasaannya. Saya nampak kereta itu bergoyang-goyang seperti berlaku sesuatu yang dahsyat, lalu saya mengambil keputusan untuk menyelinap di bahagian tepi dan mengintip ke dalam kereta itu.

Andrew memberhentikan keretanya lebih kurang 10 meter dari teksi jenis Proton Iswara itu. Alangkah terkejutnya beliau mendapati seorang kanak-kanak dipukul bertalu-talu oleh lelaki tersebut.

"Berderau darah saya bila ternampak seorang lelaki di bahagian kerusi pemandu sedang memukul belakang anaknya bertalu-talu menggunakan tali pinggang. Bila budak itu hampir rebah, lelaki itu terajang pula mukanya. Bila dia sudah puas menyeksa kanak-kanak malang itu, dia kemudian merebahkan kerusi dan terus tidur. 

"Saya tergamam dan  tidak terkata apa melihat perbuatan zalim si bapa itu. Hanya satu yang terlintas di fikiran, hubungi polis segera!" katanya.

Setelah menghubungi polis, tidak lama kemudian datang seorang polis peronda wanita yang menunggang motosikal. Andrew menceritakan apa yang berlaku pada mangsa.

Anggota terbabit kemudian mengejutkan si bapa dan memintanya menunjukkan kad pengenalan.

"Semasa lelaki itu menyerahkan MyKad kepada polis, saya segera mencabut kunci keretanya. Bimbang dia cuba melarikan diri. Lelaki itu berang dengan kehadiran polis dan memarahi kami dan berkata,

"Saya punya tangan, saya punya sukalah nak pukul!"

Andrew juga mengesyaki lelaki itu berada di bawah pengaruh gam berdasarkan cara percakapan lelaki itu, selain dari menemui beberapa tin gam dalam keretanya.

Kedua anak beranak yang berasal dari Rembau itu difahamkan menjadikan teksi itu sebagai tempat menumpang teduh. Dia kerap memukul anaknya untuk melepaskan geram setelah ditinggalkan isteri.

"Dua bulan yang lalu, saya pernah bertanya pada lelaki itu mengenai kecederaan pada bahagian atas kening kiri anaknya. Tetapi dia memberikan alasan yang anaknya terjatuh," katanya.

Menurut Andrew lagi, kanak-kanak itu hampir dua minggu tidak makan dan bertukar lampin.

"Memang kasihan, tak tergambar penderitaan budak itu. Kalau tidak silap saya, lebih kurang dua minggu dia dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar dan kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki yang berusia 32 tahun itu telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Atas keprihatinan ditonjolkan, pihak polis menganugerahkan sijil penghargaan kepada Andrew ketika perhimpunan pagi yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.   - SINAR HARIAN | THEHYPEMEDIA.COM 

'Saya Punya Tangan, Saya Punya Sukalah Nak Pukul!!' Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel