KUALA LUMPUR: Awas penentang kerajaan, kerana Datuk Ahmad Maslan kini jeneral perang siber UMNO yang baharu.
Perlantikan Ahmad Maslan itu merupakan salah satu daripada penyusunan semula struktur Majlis Tertinggi UMNO, yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak seusai Mesyuarat (MT) UMNO, petang tadi, di ibu negara.
“Datuk Seri Ahmad Maslan dilantik MT memegang Biro Teknologi Maklumat, (manakala) Ketua Penerangan UMNO baharu saya lantik Tan Sri Annuar Musa,” kata Najib dalam sidang media yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Penyusunan semula MT 60 anggota itu bertujuan untuk memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Ahmad melalui Twitter berikrar akan memikul tanggungjawab itu dengan sehabis baik.
“Saya berjanji akan memberi khidmat terbaik melalui jawatan baru yang sangat mencabar. Media sosial sangat penting dalam perjuangan UMNO kini,” kata Ahmad.
Sementara itu, ketika ditemui FMT di perkarangan PWTC, Annuar berkata beliau akan mengumumkan beberapa langkah kepada media selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri dan Ahmad.
“Saya terkejut dengan pengumuman ini. Saya akan cuba untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin,” kata Annuar.
Sementara itu, perlantikan lain termasuk Datuk Sri Abdul Azeez Abdul Rahim selaku Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian; Datuk Johari Abdul Ghani selaku Pengerusi Biro Ekonomi; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selaku Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara; Datuk Razali Ibrahim selaku Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta, dan Datuk Shamsul Anuar Nasarah selaku Pengerusi Biro Kebajikan.