Sandwich, Bubur Ayam, Mee Goreng, 20 Sen Je!

Selain sandwich, usahawan cilik ini turut menjual pelbagai lagi makanan seperti nasi bubur dan mee goreng pada harga yang sama.

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini kisah seorang lelaki yang menjual donut dengan harga 10 sen menjadi viral, kini timbul pula kisah viral tentang sandwich yang dijual dengan harga serendah 20 sen.

Niat saya hanya untuk tolong orang susah dan tidak peduli dengan untung atau rugi,” kata seorang anak usahawan, Iman Sufiah Muhamad Taufik, 10.

Memetik laporan Harian Metro, kisah sandwich 20 sen ini menjadi viral sejak Sabtu lalu apabila gambar Iman Sufiah menjual sandwich telur tersebar.

Saya buat semua ini untuk kebajikan, tetapi terkejut apabila ramai yang menjadikan situasi itu sebagai bahan bualan sehinggakan ada yang membeli barang jualan kami dalam kuantiti yang banyak.

Semuanya bermula selepas saya melihat cerita orang susah yang banyak dipaparkan di televisyen, laman Facebook dan Internet. Hati saya cepat tersentuh dan kasihan melihat mereka kerana tidak mampu untuk membeli makanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lebih mengujakan, bukan sahaja sandwich telur yang dijual. Sufiah yang ditemani adinya, Iman Ayeisha Muhamad Taufik, 8, turut menjual bubur ayam, dadih, cekodok pisang dan mi goreng dengan harga yang sama sejak memulakan perniagaan amal itu pada 9 Disember lalu di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Damansara.

Sekiranya makanan-makanan yang dijual tidak habis, kedua beradik ini akan mengagihkan makanan-makanan tersebut kepada orang awam di Pasar Besar TTDI secara percuma.

Sufiah berkata, mereka hanya menyediakan sebanyak 150 bungkus makanan setiap hari dan projek amal ini adalah projek cuti sekolah yang dijalankan setiap tahun sejak dia berumur 7 tahun lagi.

Ibu kepada usahawan cilik ini, Sitir Nurhuda Samsudin, 35, berkata dia memberi sokongan penuh kepada anaknya selain berharap anak-anaknya dapat belajar erti kehidupan serta nilai memberi kepada yang susah.

"Saya tidak menghalang apa sahaja kehendak anak dan sentiasa memberi semangat kepada mereka.

"Saya tahu harga yang dijual itu murah dan tidak mendatangkan untung tetapi untuk beramal, niat itu perlu ikhlas," katanya - Siakapkeli.my

Sandwich, Bubur Ayam, Mee Goreng, 20 Sen Je! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel