KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebentar tadi mengesahkan kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah siap dan akan dihantar untuk diteliti Lembaga Disiplin UMNO dalam masa terdekat.
"Kertas siasatan (kes melanggar disiplin dan perlembagaan parti) kini sudah siap dan akan dihantar pada bila-bila masa kepada Lembaga Disiplin UMNO," katanya kepada pemberita sebelum memasuki Dewan Merdeka di PWTC untuk mendengar perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO di sini sebentar tadi.
Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas adakah Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri akan berhadapan dengan tindakan disiplin parti kerana secara terbuka mendesak Najib meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Menyentuh mengenai ucapan dasar Presiden UMNO, Tengku Adnan berkata perkara paling penting ialah berkaitan solidariti dalam kalangan ahli dan pemimpin parti.
"Saya berpandangan mesej berkenaan sudah sampai kepada pemimpin dan perwakilan yang menghadir perhimpunan agung kali ini bagi memastikan kita mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
"Saya juga percaya perwakilan tahu apa yang mereka harus lakukan selepas ini," katanya.
Tengku Adnan berkata, Presiden UMNO juga menjawab semua tohmahan yang dilemparkan pihak tertentu.
"Apa yang paling penting kita mahu melihat UMNO bersatu," katanya.
- bharian