Perogol Salahkan Mangsa Berlakunya Kes Rogol Dalam Bas, Apa Pandangan Anda??


NEW DELHI, 3 Mac: Masihkah anda ingat tragedi yang menimpa seorang pelajar fisioterapi berusia 23 tahun yang maut, selepas dua minggu terseksa akibat cedera parah, kerana dirogol secara berkumpulan dan disula dengan batang besi, dalam sebuah bas bergerak di New Delhi, lebih dua tahun lalu.

Seorang daripada empat perogol berkumpulan itu yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati, bertindak menyalahkan mangsanya, kononnya wanita perlu lebih bertanggungjawab kerana dirogol, berbanding lelaki.

Mukesh Singh, 28, yang ditemubual BBC di penjara mendakwa, dia hanya memandu bas berkenaan dan menafikan dirinya turut merogol Jyoti Singh, 23, ketika serangan itu berlaku pada 16 Disember 2012.

Dia menyifatkan kematian Jyoti sebagai “kemalangan” yang berpunca daripada wanita itu sendiri.

“Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Seorang gadis yang sopan tidak akan keluar pada jam 9 malam.

“Seorang gadis lebih bertanggungjawab kerana dirogol, berbanding lelaki. Lelaki dan perempuan tidak sama.

“Kerja rumah dan mengemas rumah adalah untuk wanita, bukannya pergi ke disko dan bar pada malam dan melakukan perkara tidak sepatutnya serta memakai baju tidak betul (sopan).

“Hanya kira-kira 20 peratus wanita adalah baik,” katanya dalam program dokumentari “Storyville – India’s Daughter” yang bakal disiarkan di BBC Four sempena Hari Wanita Sedunia, pada 8 Mac ini.

Menurut polis, ketika kejadian, Jyoti yang dalam perjalanan pulang bersama seorang kenalan lelakinya, selepas menonton wayang di sebuah pawagam, diperdaya menaiki bas mini yang dipandu Mukesh.

Mangsa kemudiannya dirogol, dibelasah dan disula dengan batang besi, sebelum kedua-duanya ditolak dari bas bergerak itu.

Mereka ditemui di tepi jalan dalam keadaan bogel dan cedera parah.

Jyoti menghembuskan nafas terakhirnya pada 29 Disember 2012, 13 hari selepas dia dirawat di hospital.

Kenalan lelaki Jyoti itu yang terselamat, selepas dibelasah kumpulan penjenayah terbabit, menjadi saksi utama dalam perbicaraan keenam-enam tertuduh itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas lima perogol itu, susulan kematian Jyoti yang mencetuskan kemarahan serta bantahan di seluruh India dan dunia.

Abang Mukesh, Ram Singh bagaimanapun ditemui mati dalam Penjara Tihar, pada Mac 2013, manakala Mukesh bersama tiga yang lain kini dalam proses rayuan.

Seorang lagi rakan sejenayahnya yang berusia 17 tahun ketika kejadian, dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dalam pusat pemulihan, kerana dia adalah pesalah juvana.

Mukesh berkata, tindakan merogol dan memukul mangsa bertujuan mengajar Jyoti dan rakannya.

“Apabila dirogol, dia tidak sepatutnya melawan. Dia sepatutnya diam dan membiarkan dirinya dirogol.

“Dengan itu, mereka akan menurunkan mereka, selepas selesai merogolnya dan hanya memukul lelaki itu,” katanya.

Mukesh mendakwa, hukuman mati yang dijatuhkan ke atas dia dan perogol lain akan membahayakan nyawa mangsa rogol lain.

“Sekarang, apabila mereka rogol, mereka tidak akan membiarkan gadis itu hidup seperti yang kami lakukan, sebaliknya mereka akan bunuhnya,” demikian menurut Mukesh.

BBC turut menemubual dua peguam defendan.

AP Singh berkata, jika kakak, adik dan anak perempuannya keluar bersama seorang lelaki, dia akan menyimbah petrol dan membakarnya di hadapan rumah serta semua ahli keluarganya.

ML Sharma pula berkata, masyarakat India tidak membenarkan anak gadis keluar dari rumah, dengan seorang individu tidak dikenali selepas 6.30 petang.

“Anda bercakap mengenai lelaki dan wanita berkawan. Minta maaf, itu tiada tempat dalam masyarakat kami.

“Kami mempunyai budaya terbaik. Dalam budaya kami, tiada tempat untuk seorang wanita,” katanya.

Bapa Jyoti, Bhadri terpaksa menjual tanah pusaka dan bekerja dua syif untuk menghantar Jyoti ke sekolah dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ibu Jyoti, Asha Singh berkata: “Apabila berlaku jenayah, golongan wanita yang dipersalahkan.

“Dia tidak sepatutnya keluar. Dia tidak sepatutnya keluar malam atau pakai baju seperti itu.

“Lelaki yang patut disalahkan dan disoal kenapa mereka merogolnya,” tegasnya. -TheRakyatPost

Perogol Salahkan Mangsa Berlakunya Kes Rogol Dalam Bas, Apa Pandangan Anda?? Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel