Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki menumbuk muka teman wanitanya yang baru habis berpantang, malah tergamak menendang kepala bayi lelaki mangsa yang baru saja berusia 46 hari.
Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, suspek dikatakan berang selepas dipinta untuk membeli ubat dalam kejadian yang berlaku di Kampung Padang Air, Gong Badak.
Tindakan kejam suspek yang berusia 20 tahun itu menyebabkan bayi malang itu bengkak di bahagian kepala dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Serangan suspek juga telah menyebabkan ibu bayi yang berusia 18 tahun bengkak di bahagian pipi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang berehat di rumahnya sebelum didatangi oleh suspek.
Suspek yang tidak bekerja itu datang ke rumah untuk menjenguk teman wanita dan bayi itu.