KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas sanggup menggagahkan dirinya berjalan sejauh lima kilometer setiap hari untuk memberi sedekah makanan kepada kira-kira 200 kucing jalanan di sekitar kawasan Pantai Dalam dan Kerinchi.
Lebih mengharukan apabila wanita itu, Hamidah Md Som, 67, turut mengutip tin dan botol kosong untuk dijual bagi membeli makanan serta keperluan kucing.
Menceritakan rutinnya, Hamidah berkata, setiap pagi dia akan ke pasar berhampiran untuk membeli ikan dan daging sebelum mula memberi makan kucing terbiar itu kira-kira jam 10 pagi.
Katanya, kesemua ikan yang dibeli akan digoreng terlebih dahulu sebelum memberi kepada kucing terbabit di beberapa kawasan terpilih.
“Saya tidak hanya memberi makan kucing pada waktu pagi sahaja. Saya akan melakukan perkara sama selepas selesai solat Asar,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini. - HARIAN METRO