PENDEDAHAN EKSLUSIF: Peniaga Bumiputera Tak Mampu 'Hidup Lama' Di Suria KLCC!


KUALA LUMPUR - Peniaga status bumiputera di pusat beli-belah Suria KLCC disifatkan tidak mampu hidup lama di lokasi segitiga emas itu kerana tekanan dari pihak pengurusannya.

Pengarah Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah berkata, lebih malang lagi, kesemua peniaga turut diberikan tekanan untuk berpindah dari lokasi asal jika tidak mengikut beberapa undang-undang yang dibentuk bagi mengaut keuntungan segera..

“Tiga tahun mesti kena pindah lokasi, jika selalu bodek pengurusan, peniaga akan selamat tetapi jika kebanyakan peniaga bumiputera yang dikategorikan ‘nyawa-nyawa ikan’ ini berniaga, kita akan berdepan pindah ke hujung bangunan, bersebelahan tandas atau terus gulung tikar.

“Peniaga bumiputera di KLCC kini difahamkan kurang 10 premis sahaja, yang tinggal ini pun semuanya di lokasi tidak strategik, kini pengurusan cuba mencari mangsa baru dengan menarik peniaga lain dalam permainan mereka,” katanya.

Juhaidi mengulas laporan sebuah akhbar mengenai keluhan Pengasas BritishIndia, Pat Liew yang memfailkan saman terhadap pengurusan Suria KLCC kerana cuba mengeluarkan butik itu dari premisnya.

Menurut Pat, syarikatnya yang telah menyewa di Suria KLCC semenjak 1998 itu hanya diberikan masa empat hari untuk menerima tawaran tanpa syarat itu untuk berpindah ke lokasi lain.

Perkara ini juga mendapat perhatian dari Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memuat naik kenyataannya di Facebook meminta pihak pengurusan Suria KLCC sepatutnya memainkan peranan dalam mempromosikan jenama-jenama negara.

Khairy juga turut mendedahkan, kebanyakan premis bumiputera disorok di lokasi-lokasi pinggiran selain dari mendakwa Suria KLCC tidak bersungguh-sungguh mempromosikan jenama negara.

Pada 31 Ogos 2007, kisah sedih Juhaidi bermula selepas dia mengucapkan ‘’salam terakhir’’ kepada dua sahabat yang akhirnya terpaksa menghentikan perniagaan di kompleks membeli-belah terkemuka itu.

Juhaidi pada waktu itu terpaksa melepaskan premis mereka selepas pihak pengurusan menaikkan sewa tapak lebih 50 peratus setiap tiga tahun.

Selain sewa dinaikkan pada kadar yang terlalu tinggi, peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Dalam pada itu katanya, Pat Liew membuat tindakan betul dan diharap membuka mata pengurusan serta orang ramai.

“Biar orang tahu apa masalah di Suria KLCC. Mereka nampak gah berniaga namun hakikatnya sengsara.

“Pat Liew membuat tindakan betul dengan menyaman pengurusan KLCC, kita memberi sokongan moral selain mengakui tidak mampu menyaman dahulu kerana kekurangan sumber kewangan,” jelasnya.

Katanya, ‘skandal’ dalaman pengurusan Suria KLCC yang menekan peniaga diharap diselesaikan demi kelangsungan perniagaan di sana.

“Kita tidak dibenarkan mempertahankan diri dan hanya mengangguk di atas semua arahan yang diberi. Jika melawan, tunggulah nasib kamu nanti.

“Kita juga tidak boleh membuat sebarang kesatuan atau gabungan peniaga di sana…itu undang-undang yang harus dipatuhi,” ujarnya.

Ujarnya lagi, peranan kerajaan dan menteri-menteri Kabinet diharap dapat memberi dimensi baharu kepada baki peniaga bumiputera di Suria KLCC.

“Kita faham semua pihak tersepit di antara kasihan kepada peniaga bumiputera dan pengurusan KLCC yang merupakan ikon kemajuan negara.

“Namun jika ia tidak diberi perhatian segera, kita tidak boleh bayangkan apa lagi yang akan terjadi kepada peniaga bangsa lain yang mencari rezeki di sana,” katanya - ASTRO AWANI

PENDEDAHAN EKSLUSIF: Peniaga Bumiputera Tak Mampu 'Hidup Lama' Di Suria KLCC! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel