*gambar sekadar hiasan
MUAR - Selepas Pasaraya Astaka, kini sebuah lagi pasaraya di daerah ini didakwa tidak membenarkan pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat ketika bekerja atau rehat.
Lebih mengejutkan apabila pekerja terbabit dimarahi serta diberi amaran keras jika dikesan melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Menurut sumber, beberapa pekerja pasaraya berkenaan mula berhenti kerja di premis tersebut bukan hanya disebabkan larangan itu tetapi juga kerana peraturan ketat pihak pengurusan.
“Ada pekerja melalui pengalaman buruk selepas dikatakan melanggar peraturan pasaraya dengan menunaikan solat.
“Mereka bukan hanya dihamburkan kata-kata kesat, bahkan ada pekerja ditarik ketika sedang menunaikan solat dari bilik rehat ke pejabat,” katanya.
Katanya, pekerja terbabit mengetahui tidak dibenarkan solat selepas diberitahu rakan lain yang juga merupakan pekerja pasaraya berkenaan.
“Lebih menyukarkan mereka bila bilik rehat yang sebelum ini menjadi tempat solat dikunci selepas waktu rehat pada jam 4.30 petang hingga 5.30 petang tamat.
“Ada pekerja terpaksa menunaikan solat secara bersembunyi di stor yang ruangnya terlalu kecil demi menyempurnakan tuntutan sebagai orang Islam,” katanya.
Sumber berkata, tindakan pekerja terbabit dapat dihidu menyebabkan dia dimarahi di hadapan pelanggan yang sedang membeli belah.
“Pekerja itu memberitahu, sejak insiden tersebut, dia pernah dibaling dengan kotak dan dimarahi hanya kesilapan tidak ingat kod barang yang ditugaskan kepadanya,” katanya.
Katanya, pekerja itu pernah beberapa kali mohon berhenti kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapinya tetapi tidak dibenarkan pihak pasaraya.
Tambahnya, bagaimanapun, pekerja itu telah diberhentikan kerja bulan lalu.
Sementara itu, wakil pasaraya berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan akan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak atasan.
Dalam pada itu, Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dan majikan perlu prihatin dengan keperluan pekerja untuk menunaikan solat.
Bagaimanapun katanya, pejabat kadi tidak mempunyai kuasa mengarahkan pasaraya berkenaan membuat bilik solat di premis tersebut.
Januari lalu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Cawangan Muar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar sebelum berpiket di hadapan Pasaraya Astaka bagi membantah tindakan pasaraya berkenaan melarang pekerja Islam menunaikan solat ketika waktu kerja dan rehat.
Ekoran tindakan itu, pasaraya terbabit setuju membina surau dalam premis tersebut yang dijangka siap selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.