Benarkah Dua Kumpulan Kongsi Gelap Mahu Gaduh Besar Di Klang? Ini Jawapannya!

Sekadar gambar hiasan

KLANG - Polis daerah Klang Selatan menafikan penyebaran maklumat palsu dalam laman sosial bahawa akan berlakunya pergaduhan besar membabitkan kumpulan kongsi gelap 24 dan 36 di daerah ini.

Ia susulan kematian seorang lelaki tempatan dipercayai penolong ketua kongsi gelap di daerah ini akibat pergaduhan dalam kejadian 3 pagi 10 Februari lalu di Telok Panglima Garang, Banting.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian berkenaan menimbulkan banyak penyebaran maklumat di laman sosial kononnya akan berlaku pergaduhan besar antara dua kumpulan berkenaan disebabkan dendam akibat pembunuhan ahli sebuah kumpulan kongsi gelap.

Katanya, maklumat berkenaan turut menyatakan keadaan di bandar itu tidak selamat terutama di Kampung Jawa.

“Polis menafikan penyebaran maklumat palsu berkenaan. Keadaan semasa di Klang termasuk Kampung Jawa aman dan tenteram.

“Tiada kejadian tidak diingini berlaku malah masyarakat bergerak bebas menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa,” katanya di sini, petang tadi.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang lelaki tempatan dan lelaki warga asing dari Sri Lanka terbabit dalam pergaduhan di sebuah premis di Jalan Pandan 2 Telok Panglima Garang.

Kejadian itu menyebabkan lelaki tempatan terbabit meninggal dunia manakala lelaki warga asing itu dimasukkan ke Hospital Banting.

Berikutan kejadian itu, tersebar di laman sosial yang mendakwa akan berlaku pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap di daerah itu selepas salah seorang daripada pemimpin kumpulan itu diserang kumpulan lain. - myMetro Online

Benarkah Dua Kumpulan Kongsi Gelap Mahu Gaduh Besar Di Klang? Ini Jawapannya! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel