LUAHAN SAYU: Nordiana Sedih Dihina Di Pusat Pemindahan Banjir, Hanya Kerana Berasal Dari Kampung Lain?


Seorang mangsa banjir di Pantai Timur, Nordiana Mohamed Husin dibelenggu dengan perasaan sedih dan kecewa apabila melihat begitu banyak barangan sumbangan orang ramai untuk membantu mangsa banjir.

Hatinya menangis kerana setiap kali membuka mulut meminta sedikit sebagai pengalas perut, dia dan suaminya, Abdullah Hassan tidak akan dilayan sebagaimana mangsa banjir lain.

Lebih menyedihkan lagi, Nordiana disifatkan sebagai mangsa banjir dari kawasan lain dan bukan kariah Kampung Keladan, Mentakab, Pahang yang hilang kelayakannya untuk menerima bantuan makanan sebagaimana mangsa banjir lain.

“Memang kami bukan dari kampung tersebut tetapi dari kampung Raja. Namun kami sekeluarga juga mangsa banjir dan saya mendaftar nama di pusat penempatan Kampung Keladan kerana itu yang paling hampir.

“Apakah kami bukan mangsa banjir walaupun dari kampung berlainan? Saya dan suami serta dua anak kami tidak akan meminta sesuap nasi jika perut tidak terasa lapar. Biarpun kami sekeluarga orang miskin tapi kami bukanlah pengemis untuk mendapatkan ihsan orang lain.

“Dua hari kami tinggal di pusat penempatan tersebut kerana tiada pilihan.


Disebabkan tekanan dan layanan yang diterima begitu menyedihkan, kami akhirnya keluar dan tinggal menumpang di rumah saudara mara yang tidak ditimpa musibah banjir,” katanya.
Semalam, dia sekeluarga pulang ke rumahnya yang masih dikelilingi air hingga paras lutut orang dewasa. Tanpa menghiraukan bahaya, rumah yang disewa daripada Masjid Kampung Raja itu dibersihkan setakat mana yang termampu.

“Saya dan suami dah tak kisah sama ada akan terima bantuan atau tidak daripada mana-mana pihak. Kalau nak bagi kami terimalah, tetapi kalau tidak, kami tidak akan meminta-minta.

“Bukan sebab kami tidak menghargai pemberian orang tetapi kami kecewa dengan sikap pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap mangsa banjir.

“Mungkin hanya saya dan keluarga sahaja yang melalui masalah seperti ini tetapi secara jujurnya, saya tidak mahu mengharapkan apa-apa lagi selepas kami melalui saat-saat hina di pusat penempatan banjir. Cukuplah dengan apa yang telah kami lalui,” tambahnya lagi.

LUAHAN SAYU: Nordiana Sedih Dihina Di Pusat Pemindahan Banjir, Hanya Kerana Berasal Dari Kampung Lain? Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel