JOHOR BAHRU: Klip video insiden pergaduhan pemandu teksi bertumbuk dengan dua pegawai polis bantuan yang dirakam orang awam mendapat perhatian dan menjadi viral di laman sosial.
Seorang pemandu teksi ditahan selepas bertindak menyerang dua anggota polis bantuan yang dipercayai berpunca dari tidak dapat menerima teguran pihak berkuasa yang memintanya mengalihkan teksinya.
Dalam kejadian pada jam 8.45 pagi itu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Selasa lalu, pemandu teksi yang berusia 38 tahun itu didakwa memandu secara merbahaya sebelum memarkirkan teksinya di tempat larangan untuk menurunkan penumpangnya sebelum didatangi oleh dua anggota polis bantuan BSI yang memintanya beredar secara baik.
Suspek yang mungkin tidak dapat menerima teguran bertindak menyerang dengan menarik kolar pakaian seragam polis bantuan berkenaan sebelum berlaku insiden pergaduhan itu.
Suspek juga turut menendang polis bantuan terbabit sebelum seorang anggota polis trafik datang meleraikan pergaduhan itu.
Anggota trafik kemudian menahan lelaki terbabit dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) JBS untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis hari ini. - MY MEDIA HUB