Banjir: Ketua Polis Kelantan Dedahkan Jumlah Yang Ditahan Akibat Mencuri, Memang Ramai!



KOTA BHARU - Banjir besar di negeri ini tidak menginsafkan sesetengah pihak apabila ada yang bertindak memecah masuk pasar raya dan beberapa premis perniagaan di negeri ini bagi mengambil bekalan makanan dan barangan lain kononnya untuk digunakan sebagai bekalan sepanjang musim terbabit.

Lebih mengejutkan apabila kejadian itu turut melibatkan remaja berusia 14 sehingga golongan dewasa berumur 40 tahun yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan bencana.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, situasi berkenaan melibatkan 39 laporan dengan 37 laporan berhubung kecurian dan dua penyebaran maklumat palsu.

"Seramai 108 ditahan termasuk lelaki dan wanita berhubung kecurian di negeri ini di samping dua dikenal pasti menyebarkan maklumat palsu yang berhubung kejadian banjir di negeri ini.

"Tangkapan kes kecurian dilakukan di sekitar Tanah Merah, Kota Bharu selain beberapa tempat lain termasuk Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas, Pasir Puteh termasuk Bachok" katanya.

Mazlan berkata, kesemua laporan yang diperolehi itu bermula sekitar 17 Disember lalu dan 16 kes disiasat sehingga kini selepas banjir gelombang kedua berlaku.

"Tangkapan melibatkan kecurian akan didakwa di bawah seksyen 451 Kanun Keseksaan (KK), 457 Kanun Keseksaan (KK) dan seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK), seksyen 448 KK selain dua kes penyebaran maklumat palsu di bawah akta multimedia dan komunikasi" katanya kepada media.

Beliau berkata demikan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai tidak sepatutnya melakukan perbuatan sedemikian kerana ia menyalahi undang undang.

"Kita ada peraturan lagipun mencuri salah dan sepatutnya mereka tidak melakukan perbuatan itu sewenang-wenangnya.

"Lagipun kebanyakan mereka merupakan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan dan memperolehi bantuan namun bertindak melakukan perbuatan itu demi kepentingan sendiri," katanya. - Sinar Harian

Banjir: Ketua Polis Kelantan Dedahkan Jumlah Yang Ditahan Akibat Mencuri, Memang Ramai! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel