Saya Juga Manusia, Bukannya 'Binatang', Luahan Penjaja Dikasari Penguakuasa PBT


KUALA TERENGGANU - “Saya akui kesalahan yang saya buat, tapi apa salahnya tegur cara baik dan berhemah, kenapa perlu gunakan cara kekerasan.

“Saya juga manusia biasa dan bukannya ‘binatang’ yang perlu dilayan sebegitu,” demikian luah Mohd Hamizan Mohd Noor, 29.

Bapa kepada seorang anak ini merupakan salah seorang penjaja makanan ringan yang mendakwa dikasari anggota Penguat kuasa PBT dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Pantai Batu Burok, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Mohd Hamizan mendakwa pihak berkenaan bukan sahaja mengeluarkan kata-kata kesat, malah turut bertindak kasar dengan menendang perutnya sehingga mengalami kecederaan.

Ketika diminta menceritakan detik kejadian, Mohd Hamizan berkata, sebelum insiden itu, kira-kira jam 2.15 petang, dia bersama adiknya, Mohamad Firdaus baru hendak membuka gerai di tapak berhampiran pagar bangunan baharu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

“Bagaimanapun, lebih kurang jam 3 petang, datang sebuah van penguat kuasa yang terdiri enam anggota telah menegur tindakan saya berniaga di kawasan itu atas alasan kawasan larangan.

“Salah seorang daripada mereka turut mengugut sekiranya saya masih berdegil tidak mahu menutup gerai, semua barangan perniagaan saya akan dirampas sebelum mereka berlalu pergi memberi masa kepada saya menyimpan barang,” dakwanya.

Jelasnya lagi, lebih kurang setengah jam kemudian iaitu kira-kira jam 3.30 petang, anggota berkenaan datang semula ke gerainya sebelum salah seorang daripada mereka telah menyerahkan surat saman atas kesalahan menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman tanpa lesen.

“Salah seorang daripada mereka telah arahkan agar kami membuka bidai van dan dalam masa sama, cuba hendak merampas barang-barang niaga.

“Terkejut dengan tindakan itu, kami cuba melawan bagi mempertahankan barang-barang niaga kami dan ketika itulah salah seorang daripada mereka telah menendang perut saya sebelum berlaku pergelutan di antara kami,” dakwanya.

Dakwa Mohd Hamizan lagi, takut dengan situasi itu, dia bergegas menutup bidai tersebut dan terkena pada salah seorang anggota yang memerhati tindak-tanduknya itu.

“Mungkin dia ingat saya cuba hendak mencederakannya sebelum mengeluarkan kata-kata makian terhadap kami adik-beradik,” katanya.

Walaupun tidak mengalami kecederaan parah, namun bimbang akan keselamatan dirinya pada masa akan datang, Mohd Hamizan mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu sejurus selepas insiden itu.

Saya Juga Manusia, Bukannya 'Binatang', Luahan Penjaja Dikasari Penguakuasa PBT Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel