Pendedahan Mengejutkan Mengenai Amalan Minum Jus Betik, Sup Ketam dan Minuman Isotonik untuk Denggi!


KUALA LUMPUR - Amalan minum jus betik, hirup sup ketam dan minum minuman isotinik hanyalah mitos semata-mata, malah tidak dapat mengubati penyakit demam denggi. 

Pegawai Perubatan Kanan Perubatan Am Hospital Seri Manjung, Dr Hafizah Mohamed Haniba berkata, tiada kajian saintifik yang membuktikan bahawa demam denggi mampu disembuhkan menerusi tiga amalan tersebut. 

"Salah faham itu disebabkan maklumat yang disampaikan adalah dari mulut ke mulut sejak dulu sehingga ia dianggap berkesan dalam merawat penyakit demam denggi. 

"Dari sudut perawatan moden, belum ada kaedah dan rawatan khusus untuk demam denggi. Apa saja yang berkaitan dengan herba tradisional dan sup ketam adalah lebih kepada petua orang lama. Ia boleh dikategorikan sebagai rawatan sampingan, bukan rawatan sebenar," katanya.

Ahli Farmasi dan Homeopati, Prof Dr A Krishnan berkata, daun betik bukan penawar demam denggi, sebaliknya ia boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang. Sekali gus membawa kepada maut jika diamalkan.

"Daun betik tidak mempunyai khasiat dan berbahaya kerana kandungannya mempunyai cyanide yang berperanan seperti racun menyebabkan sistem imunisasi individu terganggu," katanya. 

Dr Hafizah menasihatkan, pesakit demam denggi sepatutnya minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter atau lapan gelas sehari. Ini kerana pesakit denggi kurang selera makan dan mengalami perubahan pada salur darah menyebabkan badan kekurangan air.

"Cukup sekadar air kosong untuk dijadikan sebagai alternatif rawatan penyakit denggi tidak berdarah. Bukannya air isotonik kerana kandungan paras gulanya amat tinggi. 

"Bayangkan jika pesakit itu menghidap diabetes, pasti akan memberikan kesan terhadap paras gula dalam badan mereka," katanya. - HARIAN METRO/THEHYPEMEDIA.COM

Pendedahan Mengejutkan Mengenai Amalan Minum Jus Betik, Sup Ketam dan Minuman Isotonik untuk Denggi! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel