MasyaAllah! Ustaz Ahmad Dusuki Dedah Rahsia Apa Yang Dilakukan Arwah Tok Guru Jika Ada Masalah


Begitu pantas masa berlalu, rupanya sudah setahun insan yang ternyata disayangi ramai iaitu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pergi meninggalkan kita.

Pemergiannya begitu dirasakan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap insan yang mengenali bekas Mursyidul Am Pas itu di mana puluhan ribu hadir ke majlis pengebumian ulamak terkenal ini.

Sehingga kini, tanah perkuburannya masih menerima kunjungan ramai di mana rata-rata mereka mengagumi insan yang hebat ini.

Pemergian Allahyarham turut dirasai oleh anak saudaranya yang merupakan penceramah terkenal ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Beliau telah berkongsikan kenangannya bersama Tuan Guru Nik Aziz kepada Sinar Harian di mana katanya, apa yang beliau paling ingat sehingga hari ini ialah kata-kata nasihat daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz.

"Ketika ini saya paling rindu ialah kata-kata nasihat beliau, yang tidak berhenti dalam menasihati keluarga ke arah perjalanan menuju ke akhirat, kerana beliau (tok guru) seorang yang optimis terhadap akhirat, maksudnya beliau dalam apa jua keadaan akan sentiasa bercakap tentang akhirat, kehidupan ini beliau gambarkan dengan suasana akhirat.

"...sebab yang ini saya betul-betul terasa kehilangan rasa terlampau rindu kepada nasihat dan ingatan-ingatan dan teguran beliau," katanya dalam satu wawancara khas bersamaSinar Harian di Kompleks Darul Thibbun Nabawi di Shah Alam di di sini hari ini.

Menurut Ustaz Ahmad Dasuki, arwah Tuan Guru sentiasa bercakap tentang dakwah Islam dan perkembangan Islam di dunia ini sehinggalah penghujung nyawanya.

"Pada akhir hayat beliau, tok guru masih bertanya tentang perkembangan agama Islam dan penerimaan Islam terhadap masyarakat bukan Islam, beliau begitu obses hendak lihat Islam berkembang, hendak dunia terima Islam," katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Dasuki berkata, Nik Abdul Aziz seorang yang tegas dalam hidup dan bukan seorang yang hidup dalam semberono.

"Kalau beliau marah, marah yang berasas, contohnya ketika waktu solat, beliau sedang berjemaah tiba-tiba ada orang yang tidak berjemaah buat 'wirering' kawasan masjid misalnya, lepas selesai solat pasti tok guru akan marah orang tersebut, sebab baginya dia minta mereka fokuskan waktu itu dengan ALLAH, jangan terlibat urusan lain, ini yang buat beliau marah...sebab dia betul-betul jaga solat berjemaah," ujarnya.

Selain itu, arwah Tuan Guru juga sangat mementingkan nilai kekeluargaan dan pantang ada kenduri kendara keluarga, beliau akan pergi walau sesibuk manapun.

"Dia akan pergi ziarah, kerana ingin bersama keluarga," katanya.

Ustaz Ahmad Dasuki turut mendedahkan satu rahsia dimana tidak ramai orang tahu tentang insan hebat bernama Nik Abdul Aziz ini.

"Beliau akan pergi 'bersembunyi' di perkampungan Batu Balai di Jerantut, Pahang jika berhadapan dengan masalah terutamanya ketika ingin 'merehatkan diri' buat seketika daripada buruan media dan masalah politik yang melanda.

"Waktu paling saya ingat ialah ketika tok guru ada krisis dahulu, beliau ke situ, untuk asingkan diri buat seketika," katanya.

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir pada 12 Februari 2015 lalu, di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan. - Siakapkeli.my

MasyaAllah! Ustaz Ahmad Dusuki Dedah Rahsia Apa Yang Dilakukan Arwah Tok Guru Jika Ada Masalah Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel