Lagi Syarat Pelik Dato Vida, Kali Ni Untuk Penyokong Kelantan Pulak!


KOTA BHARU: Sebaik sahaja Stadium Sultan Muhammad IV, di sini bertukar wajah sebelum perlawanan Liga Super 2016 bermula pada 13 Februari ini, penyokong tidak lagi dibenarkan makan kuaci ketika menyaksikan perlawanan supaya mereka lebih berdisiplin dalam aspek kebersihan. 

Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, yang lebih mesra dengan panggilan Dr Vida berkata, penjualan kuaci dalam stadium juga tidak dibenarkan atas faktor kebersihan. 

Beliau berkata, peraturan itu dibuat supaya tiada kulit kuaci bersepah, yang boleh mencemarkan pandangan pengunjung terutamanya pelancong yang melawat stadium berkenaan.

 "Apabila stadium berkenaan bakal dijadikan mercu tanda Kelantan, semua penyokong perlu lebih bertanggungjawab supaya nama baik tempat itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.

"Kita mahu penyokong yang sopan dan mempunyai imej yang bersih untuk memberi sokongan kepada pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mengungguli kemenangan," katanya.

 Kerja pembersihan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini yang dimulakan kelmarin sudah 50 peratus selesai, termasuk bahagian dalam dan luarnya. Kira-kira 50 pekerja kontraktor yang dilantik Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memulakan kerja pembersihan dan mengecat pagar Stadium Sultan Muhammad IV, sejak awal pagi kelmarin.

 Kerja pembersihan dan mengecat stadium dilakukan mengikut ilham penaja utama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu dijangka mengambil masa selama tiga minggu.

 Stadium berkenaan bakal menjadi mercu tanda baharu pelancongan di negeri ini apabila bukan sahaja dicat warna merah jambu, malah mempunyai rekaan tersendiri dengan dihiasi lampu yang berwarna sama.

Mengulas lanjut, Dr Vida berkata, buat masa ini, beliau mahu syarikat berkenaan menumpukan cat warna putih untuk lapisan pertama di seluruh stadium bagi membuang kesan cat lama.

 "Kita belum menemui lagi warna merah jambu seperti dikehendaki untuk digunakan mengubah wajah Stadium Sultan Muhammad IV ini. Kita masih mencari dan berharap warna itu dapat diperoleh dalam masa terdekat.

 "Bagi mana-mana syarikat tempatan yang mempunyai warna seperti dikehendaki bolehlah tampil untuk menyelesaikan kerja cat di stadium ini. Warna yang saya mahu itu bukan sebarang merah jambu tapi lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur merah muda," katanya.
-BH Online

Lagi Syarat Pelik Dato Vida, Kali Ni Untuk Penyokong Kelantan Pulak! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel