Gunung Everest Semakin TERCEMAR, Anda Pasti TERKEJUT Apabila Tahu Puncanya!


Kathmandu: Sisa buangan manusia yang ditinggalkan pendaki di Gunung Everest kini menyebabkan pencemaran dan risiko penularan penyakit di puncak tertinggi dunia itu, kata ketua persatuan mendaki gunung Nepal, semalam.

Menurut Ang Tshering, lebih 700 pendaki dan pemandu arah yang menghabiskan masa hampir dua bulan di cerun Gunung Everest pada setiap musim mendaki meninggalkan sejumlah besar najis dan air kencing.

Kerajaan Nepal perlu mendesak pendaki melupuskan najis mereka dengan betul supaya kawasan pergunungan itu kekal bersih, katanya.

Ratusan pendaki asing kini bersiap sedia menawan gunung berkenaan pada musim ini yang akan bermula beberapa hari lagi hingga sepanjang Mei.

Musim mendaki terpaksa dibatalkan selepas 16 pemandu arah tempatan terbunuh dalam kejadian salji runtuh.

Pendaki biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk menyesuaikan diri di sekitar empat kem yang didirikan pada ketinggian antara 5,300 meter hingga 8,850 meter sebelum ke puncak.

Kem berkenaan dilengkapi khemah dan peralatan asas serta bekalan makanan, namun tidak mempunyai tandas.

“Pendaki kebiasaannya menggali lubang di dalam salji untuk dijadikan tandas dan meninggalkan najis mereka di sana.

“Najis itu sudah terkumpul selama beberapa tahun di sekitar empat kem berkenaan,” kata Tshering.

Menurutnya, sehingga kini, kerajaan Nepal belum mempunyai rancangan untuk menangani masalah najis manusia itu.

Bagaimanapun, ketua Jabatan Pendakian Nepal, Puspa Raj Katuwal berkata, bermula musim mendaki tahun ini, beberapa pegawai ditempatkan di kem induk bagi memantau pembuangan sampah di pergunungan.

Kerajaan menguatkuasakan peraturan baru pada tahun lalu yang mengarahkan setiap pendaki membawa turun lapan kilogram sampah - jumlah buangan yang dianggarkan dibuang setiap pendaki di sepanjang laluan. - AP

Gunung Everest Semakin TERCEMAR, Anda Pasti TERKEJUT Apabila Tahu Puncanya! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel