Home /
Semasa /
Umat Islam Lain Khusyuk Solat Jumaat, Pasangan Suami Isteri Ini Buat Kerja Terkutuk!
Umat Islam Lain Khusyuk Solat Jumaat, Pasangan Suami Isteri Ini Buat Kerja Terkutuk!
Sewaktu umat Islam lain khusyuk menunaikan solat Jumaat, sepasang suami isteri mengambil kesempatan mencungkil pintu kereta milik jemaah lalu menyelongkar sebelum mencuri barang berharga termasuk pemain cakera padat digital (DVD), di Masjid Kampung Sanlang, Penjom, dekat sini, jam 1.30 petang kelmarin.
Perbuatan lelaki berusia 31 tahun berasal dari Kuarters Pasir Mas Sawmill, Gua Musang, Kelantan, bersama isterinya berusia 30 tahun berasal dari Pantai Cahaya Bulan, Kelantan itu terbongkar selepas mereka ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Turut ditahan, enam anak pasangan terbabit berusia tujuh bulan hingga 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum itu anggota polis terserempak dengan pasangan terbabit berada di dalam sebuah kereta Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan di perkarangan masjid berkenaan sebelum menghampiri mereka untuk menjalankan pemeriksaan.
"Polis menemui lima senjata tajam, pelbagai peralatan pecah rumah, lima telefon bimbit, tiga utas jam tangan, seutas rantai leher, tiga gelang tangan dan empat resit surat pajak gadai," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. - Harian Metro