Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor, telah memutuskan bahawa Darjah Kebesaran Dato' Seri yang dikurniakan kepada Yang Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim adalah ditarikbalik berkuat kuasa 3 November 2014, selaras dengan kuasa Baginda sebagai sumber bagi segala Penghormatan dan Kebesaran dalam Negeri Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran seperti mana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1958.
Penarikan Darjah Kebesaran Seri - Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A) yang dikurniakan pada tahun 1992, adalah berasaskan kepada tindakan dan perlakuan beliau sejak akhir tahun 2013 ini yang mempersoalkan kewibawaan dan kuasa DYMM Sultan Selangor dan Institusi Raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan.