Akan tetapi, impiannya itu pada awalnya mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya yang mahukan anak gadis mereka itu berjaya dalam bidang perubatan dan bergelar seorang doktor.
Untuk tidak menghampakan impian orang tua, dia meneruskan pengajian di dalam bidang sains, peringkat matrikulasi di Londang, Melaka walaupun terpaksa melupakan impian untuk terbang tinggi di awan biru.
Gara-gara markah yang tidak begitu melayakkannya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, akhirnya anak kedua daripada enam beradik itu meneruskan pengajian dalam bidang multimedia peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Setelah mengharunginya selama satu setengah tahun, pengajiannya terbengkalai begitu sahaja tanpa sempat ditamatkan. Semuanya gara-gara iklan AirAsia yang disiarkan untuk pengambilan kadet juruterbang syarikat tersebut. Tanpa berfikir panjang, Noor Hafizah atau lebih mesra disapa Fizah telah memohon tanpa pengetahuan keluarga.
Hari ini, setelah lapan tahun bernaung di bawah sayap AirAsia, anak kelahiran Taiping, Perak itu akhirnya berjaya meyakinkan kedua ibu bapanya bahawa kerjaya sebagai juruterbang mampu dipikulnya.
Pada peringkat awal, emak dan ayah susah juga hendak menerima kenyataan saya menyertai AirAsia sebagai juruterbang. Tambahan pula terpaksa meninggalkan pengajian di UKM.
Tetapi setelah diterima dan lulus temuduga dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik, akhirnya mereka menerima dan kini menyokong kuat saya.
Yang pasti, hari ini saya mampu berbangga dengan diri sendiri kerana cita-cita yang diimpikan sejak kecil menjadi kenyataan, katanya sambil tersenyum.
Jika bersemuka dengan Noor Hafizah pastinya tidak percayai dia merupakan individu yang mengemudi pesawat Airbus A330 dengan 375 penumpang kerana susuk badannya yang kecil.
Pada masa sama, pengorbanan Noor Hafizah melepaskan pengajian di UKM berbaloi kerana kini beliau berjaya menjadi kapten.
Baca Juga: GAMBAR DAN BIODATA NOOR HAFIZAH MOHD IDRUS JURU TERBANG COMEL AIR ASIA
Siapa sangka, penglibatan awalnya dalam bidang penerbangan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya, hari ini sudah mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang dikecapi.
Secara tidak langsung, dia juga berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu menggerakkan jentera berat dan besar malah keupayaan mereka tidak harus dipandang sebelah mata.
Semakin tinggi terbang, semakin luas pemandangannya melihat alam ciptaan Allah. Tidak hairanlah kecintaannya terhadap pencipta semakin utuh. Kerjayanya yang bertanggungjawab terhadap banyak nyawa menjadikan dirinya tidak pernah leka lebih lebih lagi untuk memenuhi kewajipan pada Yang Maha Esa. Pesanan ibu bapanya supaya tidak meningalkan solat sebaik melangkah ke dunia yang diimpikannya ini, juga sentiasa diingati.
Bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah ini tidak menafikan dia mengalami kesukaran untuk menunaikan rukun islam yang pertama ketika awal pembabitannya dalam dunia penerbangan. Dia mengalami masalah ketika ingin berwudhuk sewaktu bertugas dalam penerbangan.
“Saya berjumpa dengan seorang ustaz. Dia memberikan saya panduan berwudhuk ketika berada di dalam kapal terbang. Saya diberitahu oleh ustaz tersebut bahawa kita masih boleh membasuh bahagian kaki tanpa perlu membuka kasut. Ini memudahkan petugas petugas kapal terbang yang sememangnya mempunyai masa yang terhad,” katanya.