SHAH ALAM - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan tidak ubah seperti memberi rasuah kepada rakyat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, itu antara sebab utama beliau menentang pemberian bantuan tunai pada skala besar seperti itu.
"Jika ia (BR1M) diberikan hampir pada tarikh pilihan raya atau jika manifesto menjanjikan ia (pemberian tunai), tanggapan bahawa (BR1M digunakan) untuk membeli undi memang tidak boleh diketepikan.
"Jika ingin naikkan pendapatan (rakyat), ia perlu dibuat dengan menghasilkan peluang bekerja atau berniaga," katanya dalam artikel baharu bertajuk BR1M yang disiarkan di blog beliau, chedet.cc.
Mengakui dirinya bukan pakar ekonomi atau kewangan terlatih, Dr Mahathir berkata beliau faham mengenai BR1M dan manfaatnya kerana beliau sendiri sebelum ini pernah membuat keputusan mengenai perkara berkaitan ekonomi dan kewangan yang dilihat memberikan hasil baik kepada negara.
"Saya memang menentang pemberian wang tunai sebagai cara meningkatkan pendapatan rakyat sejak awal lagi. Jika ada pun, bantuan kewangan perlu diberikan kepada miskin tegar yang tidak mampu bekerja untuk mendapatkan pendapatan," tegasnya.
Menurutnya, selain kelihatan seperti rasuah, BR1M mempunyai kesan negatif yang lebih banyak berbanding itu kerana ia meningkatkan kebergantungan individu terhadap kerajaan untuk pendapatan sendiri, tanpa sebarang usaha.
"Ia melemahkan karakter individu dan mengurangkan daya saing dalam pasaran," katanya.
Menurutnya, untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti disasarkan Malaysia menjelang 2020, ia perlu datang daripada peningkatan dalam produktiviti.
Dr Mahathir berkata, produktiviti yang tinggi diperoleh daripada pendidikan dan latihan lebih baik.
"Seseorang buruh tidak boleh jadi lebih produktif berbanding mekanik atau tukang yang mahir dalam sesuatu pekerjaan tangan. Mereka ini pula tidak seproduktif seorang jurutera.
"Keupayaan meningkatkan produktiviti datang daripada nilai tambah lebih besar terhadap produk," katanya.
Menurutnya, pemberian wang tidak meningkatkan produktiviti, menyebabkan daya saing tidak akan bertambah baik.
Akibatnya, beliau berkata, ekonomi tidak akan tumbuh sepenuhnya dan negara-negara seperti ini terpaksa bergantung kepada pekerja, eksekutif dan usahawan asing.
Pendapatan tinggi bukan penentu kemajuan negara
"Kita mahu menjadi negara maju menjelang 2020. Kita rasa ini boleh dilakukan dengan menaikkan pendapatan purata ke tahap tertentu. Ini (penjelasan yang) mengelirukan.
"Segelintir orang yang mempunyai pendapatan sangat tinggi akan mengherotkan (nilai) pendapatan purata. Pendapatan per kapita tidak sepatutnya menjadi ukuran pencapaian kita sebagai status negara mahu. Penekanan terhadap pendapatan tinggi semata tidak cukup," katanya.
Beliau berkata, ia akan lebih mengelirukan jika pendapatan itu adalah disebabkan pemberian kerajaan.
Dr Mahathir menekankan, untuk menjadi negara maju, Malaysia perlu setanding dengan negara maju dari segi pendidikan, teknologi dan pengetahuan industri, pembangunan dan penyelidikan, infrastruktur setara dan pendapatan tinggi untuk semua rakyat.
"Jadi mustahak membelanjakan wang bagi pendidikan dan latihan bertahap lebih tinggi, membina keupayaan kejuruteraan dan industri, untuk menjadi produktif dan berdaya saing, membina infrastruktur kelas pertama dan untuk menjadi penyelidik, pencipta dan pembangun," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Mahathir berkata, ada kerajaan sosialis dan komunis yang pernah cuba memperbaiki pendapatan rakyat mereka melalui pemberian wang dan memberikan kemudahan sokongan secara percuma untuk memastikan rakyat mempunyai kehidupan baik.
"Tetapi Sosialisme dan Komunisme telah gagal. Mereka akhirnya memilih perusahaan bebas dan kerja kuat," tegasnya.
Katanya, Malaysia pernah menggunakan dasar menggalakkan industri yang menggunakan ramai buruh kerana pada masa itu, rakyat tidak mempunyai pekerjaan dan tiada pendapatan. - Sinarharian
Apa pulak kata Najib mengenai BR1M?....