KUALA LUMPUR - Sebanyak 127,265 orang atau 58.5 peratus daripada 217,746 pengunjung Zoo Negara telah melawat pusat konservasi pandagergasi sejak ia dibuka pada 27 Jun hingga 30 September lalu.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel berkata, ini menunjukkan ramai pelawat tidak melepaskan peluang melihat pasangan panda yang diberi nama Xing Xing dan Liang Liang.
"Kementerian akan terus mempromosikan pusat konservasi panda gergasi itu serta akan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan pihak Zoo Negara dalamusaha konservasi hidupan liar," katanya pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu statistik terkini jumlah pelawat pusat konservasi panda gergasi dan jumlah pelawat ZooNegara secara keseluruhan serta statistik haiwan yang mati di Zoo Negara.
Palanivel berkata, dari Januari hingga Ogos 2014 sebanyak 147 kelahiran direkodkan di zoo tersebut manakala 69 haiwan mati akibat penyakit, kecederaan traumatik, masalah nutrisi dan kematian neonatal.
Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahunantara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei lepas dan akan berada di sini untuk sedekad menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Melalui program perjanjian yang ditandatangani pada 2012 itu, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi panda gergasi selain dapatmembangun dan melatih kepakaran tempatan. - Bernama