Sungguh Tidak Wajar! Luahan Hati Ibu Menyusu Tidak Diberi Tempat Duduk Dalam Tren


“Hampir 40 minit saya menyusukan anak di lantai ERL (Express Rail Link) semalam (kelmarin) dan sepanjang tempoh itu orang yang berada di sekeliling hanya melihat tanpa sedikit pun rasa simpati menyaksikan keadaan saya ketika itu,” kata Wan Noor Shila Mior Sharifuddin, 30, yang sedih dan kecewa disebabkan sikap tidak prihatin segelintir rakyat Malaysia.

Wan Noor Shila berkata, ketika itu dia bersama bayi perempuan berusia setahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Nilai dengan menaiki ERL dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke stesen Salak Tinggi jam 6.30 petang.

Menurutnya, sebelum itu dia menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) dari tempat kerjanya di Setia Wangsa bersama anak hingga ke KL Sentral sebelum menukar tren ke ERL untuk ke Salak Tinggi.

Katanya, sepanjang perjalanan menaiki ERL itu tren dipenuhi orang ramai berikutan waktu pulang kerja dan dari KL Sentral dia berdiri hingga ke stesen Bandar Tasek Selatan.

“Pada masa itu tren dipenuhi ramai orang apatah lagi ketika itu waktu pulang kerja dan saya berdiri sambil mendukung anak.

“Berikutan tidak larat mendukung anak, saya letakkannya dan dia yang baru belajar berjalan, bermain di sekitar tempat saya berdiri.

“Setibanya di stesen Bandar Tasek Selatan, anak meragam dan mula menangis mahu menyusu, mahu atau tidak saya duduk di lantai sambil menyusukan anak,” katanya sedih.

Menurutnya, sebelum itu ada seorang warga emas berusia 50-an simpati dengannya malah menawarkan tempat duduknya, namun dia menolak kerana wanita itu sangat memerlukannya.

"Saya menolak kerana wanita itu juga tidak larat berikutan usia sudah lanjut dan tak mampu berdiri lama.

Katanya, lebih menyedihkan, kebanyakan yang duduk di kerusi adalah orang muda dan mereka sedikitpun tidak simpati dengan keadaan dan kesusahannya yang mempunyai anak kecil.

Wan Noor Shila berkata, dia baru beberapa minggu menaiki tren untuk pulang ke rumah terutama jika suami ada tugasan luar atau lewat habis kerja. 

"Setiap pagi saya, suami dan anak keluar bersama kerana suami kerja di KL namun jika suami ada kerja, saya pulang dulu dengan anak menaiki tren. 

"Anak diletakkan di pusat jagaan kanak-kanak di Setiawangsa dan selepas kerja kami mengambilnya," katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah ketika mengandung lapan bulan, dia mengalami nasib sama apabila tiada seorang penumpang bersimpati dengan memberinya tempat duduk.

"Ketika itu saya menaiki KTM Komuter juga dari KL Sentral hingga ke Nilai dan sepanjang perjalanan saya duduk di lantai kira-kira sejam setengah.

"Memang sedih kerana tiada seorang pun simpati melihat saya yang sarat mengandung duduk di lantai," katanya. 

Wan Noor Shila berharap, pihak yang berkenaan menyediakan lebih banyak tempat khas untuk golongan wanita mengandung, warga emas serta mereka yang membawa bayi atau anak kecil - Harian Metro

Sungguh Tidak Wajar! Luahan Hati Ibu Menyusu Tidak Diberi Tempat Duduk Dalam Tren Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel