JPJ Diarah Bayar RM76,835 Kerana Jual Kereta Curi Dalam Lelongan Awam!

gambar hiasan

SHAH ALAM: Seorang peniaga hari ini boleh menarik nafas lega selepas menang dalam samannya terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM76,835 berhubung dengan pembelian sebuah kereta curi dalam lelongan JPJ, enam tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff, memerintahkan JPJ membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM76,835 kepada Mohd Iskandar Idris, selaku plaintif.

Dalam penghakimannya, beliau berkata JPJ telah gagal menguruskan penjualan secara tender hingga menyusahkan plaintif.

Mohd Iskandar, 32, memfailkan saman terhadap Adenan Md Isa, Penolong Pengarah JPJ Selangor, Ketua Pengarah JPJ dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.


Dalam pernyataan tuntutannya yang difailkan 12 September 2012,  Mohd Iskandar berkata pada 31 Oktober 2008 beliau membeli sebuah kereta Perodua Kancil pada harga RM1,250 dalam satu lelongan awam yang dijalankan JPJ di Jalan Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.

Beliau mendakwa dimaklumkan telah diberitahu oleh pihak JPJ yang kereta tersebut adalah sah untuk dimiliki dan hak milik boleh ditukar kepada namanya tanpa sebarang masalah.

Namun pada 14 September 2009, beliau telah ditahan oleh polis kerana memiliki kereta curi dan digari di khalayak ramai ketika berniaga menjual minuman di sebuah pasar Ramadan dan di bawa ke balai Polis Seapark, Petaling Jaya, untuk disoal siasat.

Mohd Iskandar mendakwa beliau amat terkejut apabila diberitahu polis bahawa kenderaan yang dibeli adalah kenderaan curi sedangkan beliau telah membelinya dalam lelongan awam yang dijalankan JPJ.

Iskandar dibebaskan dengan jaminan polis setelah polis berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan sebelum kenderaan itu disita.

Beliau memberitahu sempat mendapatkan semula kereta itu tetapi ia sudah dileraikan semasa dalam simpanan pihak polis. 


Sumber- Siakapkeli.com.my

JPJ Diarah Bayar RM76,835 Kerana Jual Kereta Curi Dalam Lelongan Awam! Rating: 4.5 Diposkan Oleh: InfoGugel